Saturday, 24 October 2015
Berfesyen Tidak Salah, Tak Berhijab Pun Tak Salah Tapi YANG SALAH Adalah.....
Posted By:
sembang
on 01:57
Fenomena wanita bertudung dengan celana ketat, baju ketat, baju nipis dan singkat sudah menjadi kebiasaan dapat dilihat setiap hari apabila kita bersiar di Pasaraya atau di Pusat Pengajian Tinggi. Tak kurang juga pakaian wanita yang bertudung lebih seksi daripada wanita tidak bertudung. Tidak kurang juga wanita bertudung yang terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral berbanding dengan yang wanita tidak bertudung.
Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya.
Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian dengan mengenakan hijab hendaklah berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.
Menyentuh berkenaan pakaian wanita, sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat.
Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Juga ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.
Agak menyedihkan apabila sebilangan wanita muslim yang mempermainkan pemakaian hijab di mana menjadikan tudung sebagai alat berfesyen yang keterlaluan. Pelakon dan penyanyi dari Indonesia, Melly Goeslow telah tampil memakai tudung dan fesyen tudungnya itu agak ekstrem dan keterlaluan. Dengan alasan fesyen melampau seperti ini hanya untuk sesi bergambar dan video sahaja dan apabila di luar Melly memakai tudung biasa sahaja sama seperti orang Indonesia yang lain. Namun, ianya mendapat banyak kritikan daripada peminat kerana fesyen yang digayakan tidak bersesuai dengan beliau.
Di antara fenomena yang sekarang berlekuasa dan berbahaya adalah model pakaian ketat dan terlihatnya bentuk lekuk tubuh seorang wanita. Padahal Allah dan Rasul Nya menyuruh kaum wanita untuk mengenakan hijab yang mentupi seluruh anggota tubuh agar tidak terlihat sedikitpun auratnya. Tetapi masih ada yang mengabaikan tanggungjawab ini apabila bertudung malah berani dan bangga mempertahankan imej mereka.
Baru baru ini persalinan yang digayakan oleh penyanyi Ziana Zain di Festival Fesyen Islamik (IFF) di Cannes, Perancis telah menimbulkan kritikan dikalangan para peminat yang mendakwa ianya terlalu ketat untuk dijadikan sebagai fesyen Muslimah.
“Saya tidak ambil pusing mengenai perkara itu kerana dalam dunia artis ini orang akan mengata dan memuji. Setiap manusia mempunyai pandangan sendiri tapi kadang-kadang orang yang memberi pandangan itu melihat seolah-olah diri mereka sempurna,” ujarnya kepada mStar Online.
Dalam kenyataan sama, Ziana Zain berkata beliau tidak mahu memikirkan sangat perkara ini kerana pernah berhadapan dengan kritikan lebih hebat dan gaya pemakaian beliau hanya mengikut peredaran masa sesuai dengan status dirinya sebagai seorang selebriti.
Ironisnya banyak diantara wanita yang lalai akan hal itu. Bahkan sebahagian mereka mengenakan hijab yang bermodel dan berbagai gaya dengan istilah berhijab adalah gaya penampilan terkini untuk menarik pandangan orang ramai.
Menyentuh mengenai gaya dan penampilan berpakaian, pelakon Rozita Che Wan ketika bercuti bersama ahli keluarganya di kota London telah mencetuskan kontroversi apabila bila dia dikatakan memakai pakaian yang mengundang kemarahan pengikutnya di Instagram. Seksi dan tidak mencerminkan seorang artis berhijab apabila mengenakan seluar yang seolah-olah memberi ilusi dia hanya berseluar pendek. Walaubagaimanapun, dia sebenarnya tidak memakai seluar pendek tetapi skinny pants yang berwarna kulit yang memperlihatkan beliau seperti tidak berseluar. Ramai yang mula menganggap bahawa Che Ta tidak menjaga sensitiviti sebagai seorang wanita yang sudah bertudung dan hanya ingin mengikut fesyen sahaja.
Meskipun tidak menggayakan sesuatu yang seksi tetapi kadang-kala kita tidak sedar ia mampu mengundang fitnah jika orang ramai melihatnya.
Bertudung atau berhijab bukanlah penghalang bagi mereka untuk meneruskan kerjaya yang mereka impikan, lebih-lebih lagi sebuah kerjaya professional di mata dunia. Sebelum ini kita dapat lihat kehadiran wanita cantik bernama Chahida Chekkafi dalam sebuah pertandingan bola sepak telah menarik perhatian orang ramai. Menariknya, dia adalah pengadil di padang hijau yang tampil dengan balutan hijab atau tudung. Chahida Chekkafi tinggal dan membesar di Itali. Gadis ini akrab dengan bola sepak kerana ibunya adalah pemain bola sepak di Maghribi.
Pada usia yang baru menginjak 16 tahun, perempuan yang berasal dari Maghribi sudah menjadi pengadil liga bola sepak Itali untuk pemain muda. Prestasi itu menjadikan beliau sebagai pengadil bola sepak wanita pertama yang memakai hijab dan memimpin perlawanan bola sepak lelaki.
Ketika sesetengah memberikan alasan, mungkin fesyen terkini mempengaruhi dalam pemakaian hijab dan membuatkan anda kelihatan anggun, sebaliknya ia juga boleh membawa masalah apabila ia mempengaruhi harga diri seseorang.
Adakah tudung anda menepati agama? Adakah anda merujuk ilmuan Islam atau pereka fesyen dalam memilih tudung yang sesuai?
Penting untuk mengetahui alasan anda berpakaian sedemikian. Dengan cara itu, anda dapat menerima pilihan gaya anda dengan alasan munasabah. Apa yang penting pakaian anda menepati hukum.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment