Saturday, 24 October 2015
Bantu kiraan rakaat solat
Posted By:
sembang
on 17:54
SEKUMPULAN penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menghasilkan inovasi unik yang boleh membantu meningkatkan konsentrasi dan kualiti ibadah umat Islam ketika mendirikan solat.
Produk yang dinamakan sebagai i-Sajadah itu merupakan tikar sejadah dengan sistem peranti pintar yang memberi notifikasi bilangan rakaat dalam solat.
Tujuan dihasilkan adalah untuk memberikan kemudahan kepada umat Islam daripada pelbagai lapisan umur, khususnya golongan yang mengalami masalah kognitif ataupun mempunyai daya ingatan yang lemah. Di samping itu juga, ia turut membantu golongan baru belajar untuk mengingat bilangan rakaat yang dilaksanakan seperti kanak-kanak yang baru belajar solat.
Menggunakan i-Sajadah, ia dapat memastikan bilangan rakaat dalam solat yang dikerjakan adalah tepat dan sah, tanpa sebarang keraguan serta was-was terhadap jumlah rakaat yang dilakukan.
Ketua Penyelidik, Johar Akbar Mohanat Gani berkata, kegunaan i-Sajadah adalah untuk mengatasi masalah mengingati turutan rakaat dalam solat yang dikerjakan dan seterusnya membantu mengekalkan tumpuan (khusyuk) dalam solat.
"Keistimewaan produk ini adalah ia didatangkan khas dengan gelang isyarat rakaat yang boleh digunakan oleh pengguna Islam yang mempunyai kecacatan penglihatan untuk mengesan kiraan rakaat dalam solat melalui bilangan gegaran kecil pada pergelangan tangan yang bersamaan dengan bilangan rakaat disempurnakan," katanya.
Selain Johar Akbar, penghasilan i-Sajadah turut dibantu Musa Yusup Lada dan Mohamad Riduwan Md Nawawi, selaku penyelidik bersama. Selain pensyarah, mereka juga dibantu penuntut dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTeM - Akmal Afiq Nazmudi, Muhammad Amirul Hakim Kamaludin dan Sabiq Safiuddin Mohammad, selain pencetus idea Prof Dr Burairah Hussin.
Menurut Johar Akbar, idea untuk menghasilkan produk i-Sajadah ini datang daripada kerjasama antara dua fakulti di UTeM iaitu Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) melalui Prof Dr Burairah dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik yang diketuai beliau sendiri.
"Permasalahan mengenai mengingat bilangan rakaat dalam solat ini boleh terjadi kepada semua lapisan masyarakat termasuk kita sendiri. Oleh itu, Prof Dr Burairah mengutarakan idea ini kepada pasukan kami untuk mereka bentuk satu alat yang boleh membantu menangani masalah tersebut.
"Sebilangan masyarakat Islam di luar sana juga mengakui mereka mengalami masalah yang sama untuk mengingati turutan rakaat dalam solat yang dikerjakan atas kemungkinan pelbagai faktor yang ada," katanya.
Proses rekaan
Ia bermula dengan rekaan asas yang hanya mengira dan menunjukkan bilangan rakaat dalam solat pada paparan LED di bahagian atas tikar sejadah. Cabarannya adalah daripada segi penambahbaikan rekaan i-Sajadah dari semasa ke semasa mengikut kehendak pengguna, tetapi dalam masa sama masih mengikut hukum syarak daripada segi sah solat. Ini termasuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi penambahbaikan i-Sajadah dalam mengekalkan kekhusyukan dan kesempurnaan solat tanpa gangguan paparan LED yang disediakan.
i-Sajadah direkabentuk mengikut saiz tikar sejadah yang biasa digunakan dan dilengkapi paparan LED, kotak sistem pengawal dan gelang isyarat rakaat. Peruntukannya daripada sumber Geran Penyelidikan Jangka Pendek (PJP) yang ditawarkan UTeM.
Penghasilan i-Sajadah bermula September 2014 dan mengambil masa kira-kira setahun untuk merealisasikan rekaan pada tahap komersil, di mana produk ini telah mendapat kelulusan cap dagangan dan hak cipta terlindung dari UTeM, dan masih dalam proses (patern filing) oleh universiti serta mencari rakan industri yang sesuai untuk penghasilan dan pengkormesilan i-Sajadah bagi dijual di pasaran tempatan dan antarabangsa.
"Insya-Allah kami menyasarkan produk ini dapat diguna pakai oleh masyarakat Islam pada tahun hadapan," kata Johar Akbar dengan menambah antara bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan i-Sajadah adalah material kanvas untuk tikar i-Sajadah mengikut saiz sejadah biasa, mikropengawal, LED dan paparan LED tujuh segmen, bateri, pengesan khas pada tikar i-Sajadah dan gelang isyarat rakaat dengan pergerakan mod getaran.
Dalam pada itu, i-Sajadah telah mencapai kejayaan tersendiri antaranya memenangi pingat emas dalam ekspo penyelidikan Malaysia Technology Expo (MTE) 2015 serta mendapat pengiktirafan dari Indonesian Invention and Innovation Promotion Association (Innopa) serta produk juga telah dilindungi oleh beberapa jenis harta intelek.
Ditanya tentang harapan, Johar Akbar berharap produk dapat dikomersialkan kepada pengguna Islam secepat mungkin bagi memberi jalan penyelesaian alternatif khususnya warga emas yang mengalami masalah kognitif dan daya ingatan lemah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment